Isnin, 19 November 2007

Simposium Budaya Darul Ta’zim


Kerajaan Negeri Johor, melalui Yayasan Warisan Johor bersama GAPENA telah menganjurkan Simposium Budaya Darul Ta’zim pada 12 Ogos 2007 di Hotel Selesa Johor Bahru, yang dirasmikan oleh YB Tuan Haji Ahmad Zahri Jamil, Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor. Simposium ini bertemakan “Bahasa dan Tamadun Melayu dalam Konteks Cita-cita Kebangsaan” adalah sesi perbincangan mengenai usaha memartabatkan bahasa dan kebudayaan Melayu sebagai bahasa dan kebudayaan kebangsaan di Malaysia. Sebelum itu, Menteri Besar Johor, YAB Dato’ Abdul Ghani Othman turut hadir merasmikan Hadiah Sastera Darul Ta’zim pada 11 Ogos. Acara dihadiri oleh wakil-wakil Badan Kerabat GAPENA dari seluruh negara, semuanya turut merakamkan pendirian dan pandangan diri masing-masing terhadap masalah kebangsaan di negara ini. Semuanya secara keseluruhan menolak dasar rasmi kebangsaan yang sedang dioperasikan kerana ia diduga akan merugikan bangsa Malaysia dengan mematahkan kepercayaan jatidiri negara yang telah berjaya dimajukan selama ini.

Diperturunkan senarai tokoh-tokoh yang sempat berbicara pada sidang meja bulat yang berlangsung.

Tan Sri Prof. Emeritus Dato’ (Dr) Pendeta Haji Ismail Hussein (Ketua Satu GAPENA), YB Tuan Haji Ahmad Zahri Jamil (Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah & Kesenian, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor), Prof. Datuk Dr Zainal Kling (GAPENA), Prof. Datuk Dr Abdul Latiff Abu Bakar (GAPENA), Dato’ Haji Tengku Alaudin T.A Majid (GAPENA), Dato’ Haji Khairuddin Arshad (LEPAS-Perak), Ridwan (Pahang), Datuk Wira Borhan Md Yaman (LBM-Melaka), Datuk Dr Firdaus Abdullah (DBP), Prof. Madya Datuk Zainal Abidin Borhan (GAPENA & APM-UM), Bapak Tenas Effendy (Indonesia), Syed Ahmad Jamal, Prof Madya Dr Noriah Mohamed (Universiti Brunei Darussalam), Hajah Mahayah Mohd Yassin (PEN-Negeri Sembilan), Tuan Haji Abdul Aziz Bin Mohamed (PPPBM -Johor) , Amiruddin Md Ali Hanafiah (PPJ-Johor), En Md Pitchay Gani (ASAS ’50 Singapura), Dr Wahid Kasran (KALAM-KL), Jasni Matlani (BAHASA-Sabah), Jaafar Hamdan (PEKASA-Sarawak), Dr Abu Hassan Hasbullah (APM-UM.

CADANGAN

Menyedari bahasa Melayu merupakan jati diri dan maruah bangsa Melayu, PPPBM mengusulkan :

1) GAPENA memainkan peranan sebagai penggerak membentuk Jawatankuasa Bertindak yang dianggotai NGO Melayu termasuk Badan kepentingan Melayu yang dipimpin oleh Tengku Razali Hamzah, Parti-Parti Politik Melayu, mengadakan perhimpunan secara besar-besaran untuk mendesak Y.A.B Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia bahawa Pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris hendaklah dimansuhkan dan diberhentikan dengan serta merta. Pengajaran dalam bahasa Inggeris akan lama kelamaan menghapus bahasa dan budaya Melayu. Tegasnya, pupus bahasa pupuslah bangsa.

2) Mendesak Y.A.B Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia supaya menolak ‘Multi-lingualisme dan Pluralisme’ sebagai asas kenegaraan. Dasar-dasar tersebut menghina seluruh perjuangan memartabatkan Ketamadunan Melayu sebagai paksi Ketamadunan Malaysia.

3) GAPENA dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor hendaklah menjadikan Johor sebagai Pusat Penganjuran Wacana Kemelayuan setiap tahun. Ini bertepatan dengan Johor mendapat nama jolokan daripada GAPENA sebagai ‘Benteng Terakhir Kebudayaan Melayu’

4) GAPENA dengan kerjasama Badan-Badan Perhubungan UMNO negeri menganjurkan Konvensyen Wacana Kemelayuan bagi memperteguh perjuangan agenda Melayu. Kerjasama dengan badan politik ini dapat menanamkan roh dan jiwa Melayu di kalangan mereka. Tajuk-tajuk konvensyen sekitar Pemikiran-Pemikiran Dato Onn, Tun Razak, Tun Dr. Ismail, Zaaba dan lain-lain.

Dalam menghadapi era globalisasi, orang Melayu hendaklah ditanam semangat jihad. Semangat jihad penting pada setiap umat Melayu dalam pengertian memiliki jiwa untuk terus memperteguh hak dan asas tradisi yang telah diatur oleh pejuang-pejuang dahulu dan mengatur strategi bijaksana bagi memperkasa kekuatan bangsa dalam semua lapangan baik politik, ekonomi, pendidikan mahupun kebudayaan. Tanpa semangat jihad bangsa Melayu akan terpinggir pada masa hadapan.





Selasa, 6 November 2007

Majlis Bicara Karya Johor

Pada 25 Februari 2006 PPPBM selaku badan kerabat GAPENA telah menganjurkan Majlis Bicara Karya Sastera Johor di Hotel Sri Pelangi Muar, Johor. Majlis ini adalah anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pusaka Kuala Lumpur dan PPPBM. Antara karya yang dibentangkan pada majlis itu ialah puisi “Semoga Cepat Sembuh” karya Aminah Mokhtar, novel “Lang Budi” karya Mohd Khairy Hj Halimi dan antologi cerpen “Orang Perjuangan” karya Zaharah Nawawi. Kertas kerja yang dibentangkan berhubung karya ini ialah Falsafah Teksdealisme Dalam Lang Budi: Suatu Penerapan Etika Kepimpinan, Wanita di Tangan Pengarang Wanita Dalam Orang Perjuangan dan Semoga Cepat Sembuh: Tanda, Interpretant dan Interpretasi. Dengan penganjuran bersama PPPBM akan dapat menjadikan daerah Muar ini sebagai medan memperjuangkan sastera dan bahasa yang kian terpnggir kini.

::Malam Puisi Citra Muar::

Malam Puisi Citra Muar yang bakal diadakan ini khas untuk mengetengahkan puisi-puisi bertemakan Muar yang meliputi tentang tokoh, tempat dan keistimewaan daerah ini. Program ini juga diadakan khas untuk mengangkat nama muar dalam pengkaryaan puisi yang ditulis oleh karyawan sastera tentang Muar di persada tanah air. program ini diadakan pada:

Tarikh : 18 Januari 2008 (Jumaat)

Tempat : Pentas Budaya Tanjung Emas, Muar

Masa : 8.00 malam - 10.30 malam

Program ini adalah anjuran bersama DBP Wilayah Selatan, Persatuan Penulis Johor (PPJ) dan Perkumpulan Penulis dan Peminat Bahasa Muar Johor (PPPBM. Hadirin yang berminat boleh sama-sama meriahkan Malam Puisi Citra Muar nanti. maklumat terbaru akan diberitahu kemudian..

Isnin, 5 November 2007

::aktiviti PPPBM Johor::







bengkel penulisan cerpen